DR Mortaza (kiri) menyerahkan Memorandum Persefahaman (MoU) kepada Mohamed Azahari  sambil disaksikan  Idris  (tengah) di  Kampus Kota UMK, Pengkalan Chepa, semalam.
DR Mortaza (kiri) menyerahkan Memorandum Persefahaman (MoU) kepada Mohamed Azahari sambil disaksikan Idris (tengah) di Kampus Kota UMK, Pengkalan Chepa, semalam.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Sejak diperkenalkan dua tahun lalu, sebanyak tujuh universiti sudah melaksanakan Program Dua Universiti + Dua Industri (2u2i) yang membantu melahirkan graduan berciri holistik.

Program itu memperuntukkan penuntut untuk belajar selama dua tahun dan menimba pengalaman dalam industri selama dua tahun lagi.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, sehingga kini, 2u2i banyak memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, industri dan universiti.

“Universiti Malaysia Kelantan (UMK) turut termasuk dalam senarai tujuh institusi yang mengikuti 2u2i dan menekankan bidang keusahawanan kepada penuntut.

“Program ini akan melahirkan individu yang hebat kerana menjadi penjana pekerjaan dan bukannya pencari pekerjaan. Sebaik tamat pengajian, mereka boleh bekerja sendiri dengan berniaga,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMK dengan QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands) di Kampus Kota UMK, Pengkalan Chepa, di sini, semalam.

UMK diwakili Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Mortaza Mohamed dan QSR Brands diwakili Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Mohamed Azahari Kamil.

Idris berkata, MoU berkenaan memberi peluang kepada penuntut untuk menjalani latihan industri selama dua tahun dengan syarikat itu.

“Buat permulaan, 100 penuntut UMK akan diberi peluang untuk menjalani latihan industri di rangkaian restoran yang dimiliki QSR Brands.

“Program ini (2U2i) akan melahirkan penuntut yang berkualiti dan holistik selain berciri keusahawanan serta seimbang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 4:40 AM