MAKANAN tambahan ruminan haiwan ini dihasilkan dalam bentuk blok segi empat dengan kaedah jilatan kepada haiwan seperti lembu dan kambing menggantikan blok garam mineral.
MAKANAN tambahan ruminan haiwan ini dihasilkan dalam bentuk blok segi empat dengan kaedah jilatan kepada haiwan seperti lembu dan kambing menggantikan blok garam mineral.
Nor Amalina Alias


PENTERNAKAN antara industri terpenting dalam negara khususnya dalam membekalkan sumber makanan melalui ternakan haiwan ruminan seperti kambing dan lembu.

Haiwan ini digunakan untuk bekalan daging mentah, produk tenusu mahupun keperluan lain dalam industri makanan.

Oleh itu, kesihatan dan pertumbuhan yang baik perlu dipastikan bagi membolehkan ternakan mampu memenuhi keperluan semasa yang ketika ini masih bergantung kepada bekalan import luar negara.

Melihat keperluan itu, sekumpulan penyelidik dan pelajar daripada Universiti Malaysia Kelantan (UMK) diketuai Teknologis Profesional (TS), Nor Dini Rusli mencipta inovasi makanan tambahan kepada haiwan ruminan bernama CapriBos Multinutrient Block.

Nor Dini berkata, nama CapriBos diambil sempena nama Caprine yang bermaksud subfamily biri-biri dan kambing manakala Bos bermaksud genus lembu liar serta domestik (tempatan).

Katanya, makanan tambahan haiwan ruminan itu dicipta dalam bentuk blok (segi empat) dengan multinutrien lengkap menggantikan blok garam dengan membekalkan tenaga, protein atau nitrogen bukan protein (NPN), kalsium, ferum, zink, fosforus, tembaga dan vitamin kepada haiwan ruminan.

"Di Malaysia kebanyakan penternak menggunakan blok mineral (garam) komersial sebagai tambahan kepada haiwan ruminan mereka, tetapi amalan ini bertujuan meningkatkan selera makan haiwan sahaja.

"Bukan untuk mengatasi kekurangan protein dan tenaga, malah pendekatan ini dianggap tidak menjimatkan kos kerana sebahagian besar blok garam di pasaran adalah diimport," katanya.

Beliau berkata, sedangkan dalam konteks industri ternakan di Malaysia, diketahui bahawa haiwan ruminan tempatan lambat dalam pertumbuhan dan pembiakan.

RISALAH berkenaan projek penyelidik dan pelajar UMK yang menghasilkan CapriBos Multinutrient Blok.
RISALAH berkenaan projek penyelidik dan pelajar UMK yang menghasilkan CapriBos Multinutrient Blok.

Katanya, ini berlaku kerana kualiti makanan dan pemakanan haiwan ruminan tempatan adalah rendah sehingga menyebabkan populasi haiwan ruminan dalam negara menurun sebanyak tiga peratus dari 2012 hingga 2016.

Katanya, bermula 2015 hingga 2018, UMK menerusi Fakulti Industri Asas Tani (FIAT) Kampus Jeli melahirkan idea mencipta makanan tambahan itu bagi menggalakkan pertumbuhan dan kesihatan haiwan ruminan.

"CapriBos Multinutrient Blok ini bukan saja membekalkan pelbagai nutrisi, tetapi mampu mencegah wabak penyakit haiwan ternakan seperti serangan parasit dan cacing," katanya.

PRODUK CapriBos Multinutrient Blok secara kaedah jilatan mampu meningkatkan pertumbuhan haiwan ruminan seperti lembu dan kambing.
PRODUK CapriBos Multinutrient Blok secara kaedah jilatan mampu meningkatkan pertumbuhan haiwan ruminan seperti lembu dan kambing.

Nor Dini berkata, makanan tambahan ini diberi dalam bentuk jilatan dan boleh diberikan kepada semua ruminan seperti lembu,kambing atau biri- biri kecuali bagi yang berumur bawah lima bulan.

Katanya, penggunaan makanan tambahan ini juga dapat mengelakkan ternakan memakan bahan asing seperti tanah, batu, tulang, beg plastik, pakaian atau sebagainya.

Nor Dini berkata, projek inovasi itu dilaksanakan bersama TS Dr Khairiyah Mat, TS Dr Hasnita Che Harun, Dr Syed Al-Amsyar, Mohd Mahmud dan tiga pelajar FIAT di bawah geran Fundamental Research Grant Scheme (FRGS) daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Yayasan Muhibah Tan Sri Fng Ah Seng daripada syarikat industri, Kumpulan Epic Valley Holding berjumlah RM212,800.

NOR Dini (empat dari kanan) mewakili penyelidik dan pelajar UMK yang terbabit dengan penghasilan CapriBos Multinutrient Blok menerima Anugerah Emas International Conference and Exposition on Inventions (PECIPTA) 2019.
NOR Dini (empat dari kanan) mewakili penyelidik dan pelajar UMK yang terbabit dengan penghasilan CapriBos Multinutrient Blok menerima Anugerah Emas International Conference and Exposition on Inventions (PECIPTA) 2019.

Kata beliau, selepas menggunakan CapriBos kepada ternakan mereka, penternak mendapati peningkatan pengeluaran susu kambing dan lembu, pertumbuhan lebih cepat, mengurangkan kos ubatan ternakan kerana haiwan menjadi lebih sihat dan mengurangkan penyakit parasit sehingga 31 peratus.

"CapriBos Multinutrient Blok dihasilkan daripada bahan makanan tempatan, jadi kosnya lebih murah, ternakan lebih sihat dan ini meningkatkan prestasi ruminan sebagai bekalan makanan negara," katanya.

Hasil kejayaan itu juga, produk ciptaan UMK ini terpilih mewakili Universiti ke Seoul International Invention Fair 2019 dan memenangi beberapa anugerah seperti Anugerah Emas di The 11th Creation, Innovation, Technology And Research Exposition (CITREX) 2021, Anugerah Emas International Conference and Exposition on Inventions (PECIPTA) 2019, Anugerah Perak di Majlis Anugerah Penyelidikan dan Inovasi 2018 UMK, Anugerah Gangsa di Asia Pacific Conference on Food Security (ARCOFS) 2018 Best Innovation Category dan banyak lagi.

NOR Dini (kiri) mewakili penyelidik dan pelajar UMK yang menghasilkan CapriBos Multinutrient Blok menerima pelbagai anugerah.
NOR Dini (kiri) mewakili penyelidik dan pelajar UMK yang menghasilkan CapriBos Multinutrient Blok menerima pelbagai anugerah.

Katanya, kini CapriBos sudah dipasarkan ke serata negara

melalui platform jualan dalam talian

dan kerjasama pihak industri dan pengusaha ruminan seperti Bumi Agritech Sdn Bhd, Koperasi Veterinar Berhad, Urban Agro Yields Sdn Bhd dan Yusof Eco Farm.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 6:30 AM