MOHAMMAD Hamdan pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2020 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor. FOTO Faiz Anuar
MOHAMMAD Hamdan pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2020 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor. FOTO Faiz Anuar
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengenakan tindakan tatatertib kepada dua pegawai bomba yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang kawalan pergerakan dilaksanakan sejak tahun lalu.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggotanya yang tidak mematuhi SOP kerana mereka seperti orang ramai.

"Sekiranya berlaku (rentas negeri) kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan disiplin ke atas pegawai berkenaan memandang keadaan begini sudah begitu lama dan mustahil pada saya pegawai itu tidak memahami serta mengetahui arahan yang ditetapkan.

"Setakat ini kita sudah mengambil tindakan disiplin kepada dua pegawai bomba yang terbukti melanggar arahan PKP atas urusan peribadi dalam tempoh Mac tahun lalu sehingga Mac tahun ini.

"Kedua-dua pegawai bomba yang melanggar SOP ini tahun lalu, satu menjalankan perniagaan keluarga melebihi tempoh yang dibenarkan di Sabah dan satu lagi di Semenanjung, dikesan di Sekatan Jalan Raya (SJR) dia rentas negeri dan tertangkap," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Dewan Bakawali, JBPM Selangor, Bukit Jelutong, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis dan Timbalan Pengarah Bomba Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail.

Mohammad Hamdan berkata, tujuan tindakan tatatertib diambil adalah untuk memutuskan rantaian COVID-19 dan jika kita mematuhinya, masalah pandemik tidak akan terhenti sebab tiada kepekaan.

"Ini kerana anggota bomba seperti orang biasa yang perlu mengisi borang dengan lengkap disertakan dokumen.

"Mereka tidak akan dibenarkan rentas negeri kecuali tugas rasmi, kecemasan, kematian dan kecederaan bukannya alasan peribadi," katanya.

Dalam sidang media sama, beliau mengesahkan seramai 8,296 anggota dan pegawainya selesai menerima suntikan vaksin Covid-19 di seluruh negara sehingga hari ini.

"Sehingga kini tiada anggota yang menunjukkan kesan yang kritikal daripada suntikan itu, cuma sekadar pening atau demam sehari selepas suntikan," katanya.

Terdahulu, beliau meraikan majlis penyampaian 131 anggota dan pegawai JPBM Selangor serta sembilan anggota bomba bantuan yang menerima APC.

Sementara itu, Norazam ketika ucapan merakamkan ucapan tahniah kepada 131 pegawai dan kakitangan JBPM Selangor dari pelbagai peringkat jawatan terpilih menerima APC.

"Begitu juga sembilan anggota pegawai bomba bantuan menerima Sijil Perkhidmatan Terpuji berdasarkan prestasi cemerlang yang ditonjolkan sepanjang 2020.

"Jumlah ini hanya lapan peratus dari 1,643. Jumlah ini amat kecil jika dibandingkan dengan keseluruhan warga JBPM Selangor.

"Ini menunjukkan yang terpilih pada kali ini adalah mereka yang hebat dan luar biasa dalam melaksanakan tugas," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 8:33 PM