Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Hanya 20 peratus pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dibenarkan bercuti sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, seperti tahun sebelum ini, pihaknya masih mengekalkan jumlah 80 peratus bekerja dan hanya 20 peratus sahaja yang dibenarkan bercuti.

Menurutnya, ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk tidak membenarkan sebarang pergerakan rentas negeri bagi menyambut perayaan dalam usaha membendung penularan Covid-19 di seluruh negara.

"Bagaimanapun, kerja rondaan akan berterusan dilakukan oleh semua warga JBPM di 322 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) seluruh negara bagi memastikan keselamatan serta sentiasa bersedia dari aspek keselamatan jalan raya dan risiko kebakaran di kawasan rondaan.

Mohammad Hamdan menyampaikan anugerah kepada Penolong Pengarah Pengurusan Bomba Kuala Lumpur Chien Cirra Fan di majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2020 JBPM Kuala Lumpur, Cheras hari ini. Foto Hairul Anuar Abd Rahim
Mohammad Hamdan menyampaikan anugerah kepada Penolong Pengarah Pengurusan Bomba Kuala Lumpur Chien Cirra Fan di majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2020 JBPM Kuala Lumpur, Cheras hari ini. Foto Hairul Anuar Abd Rahim

"Selain tugas rutin, pegawai dan anggota JBPM akan turut menjalankan tugas berkaitan Covid-19 seperti proses sanitasi premis dan kempen keselamatan kebakaran seminggu sebelum serta selepas Aidilfitri yang merangkumi pemeriksaan premis," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2020 JBPM Kuala Lumpur di Dewan Serbaguna, Kompleks Kuarters JBPM Cheras di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah JBPM Kuala Lumpur Nordin Pauzi.

Seramai 79 orang terdiri daripada Pegawai Kanan, Pegawai JBPM lain-lain pangkat serta kakitangan guna sama menerima anugerah terbabit.

Mohammad Hamdan turut memaklumkan mengenai usaha untuk menaik taraf jabatan sedia ada kepada taraf 'Metropolitan Fire Bridget' yang dilihat amat bertepatan dengan perkembangan pembangunan bandar berkepadatan tinggi.

"Rancangan untuk mencapai taraf itu diutarakan pada pembentangan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) lagi dan penambahbaikan dari segi kepakaran kejuruteraan, kelengkapan serta kemahiran turut ditambah baik dari semasa ke semasa.

"Pihak JBPM turut menetapkan penanda aras dengan berpandukan keupayaan pasukan bomba dari negara luar terutamanya penyelamatan di bangunan tinggi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta keupayaan untuk tiba di lokasi dalam waktu minimum," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 10:01 PM