PETUGAS kesihatan mengambil cecair vaksin Pfizer BioNtech untuk suntikan pada seorang kakitangan hospital ketika tinjauan suntikan vaksin Covid-19 di Hospital UiTM, Sungai Buloh.  FOTO Aizuddin Saad
PETUGAS kesihatan mengambil cecair vaksin Pfizer BioNtech untuk suntikan pada seorang kakitangan hospital ketika tinjauan suntikan vaksin Covid-19 di Hospital UiTM, Sungai Buloh. FOTO Aizuddin Saad
Ruwaida Md Zain


Kuala Langat: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor mensasarkan 80 peratus daripada 1689 pegawai dan anggota terutamanya yang bertugas di lapangan setiap hari divaksin pada peringkat awal.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya sudah berusaha meminta anggotanya diberikan suntikan vaksin kerana setiap hari bomba berhadapan dengan mangsa dan melakukan kerja menyelamat.

"Sekurang-kurangnya pada peringkat awal ini, kita mahu 80 peratus divaksin kerana mereka betul-betul terbabit dengan operasi dan terdedah kepada Covid-19, selebihnya bahagian pejabat akan mengikut fasa ditetapkan.

"Kami perlu dilindungi vaksin sebab kita selalu berurusan terus dengan mangsa tetapi kita tidak tahu sama ada sudah divaksin atau tidak..sebelum ini, ada mangsa yang dibantu positif Covid-19, itu menjadi ancaman kepada anggota kita yang bertugas.

"Saya juga sudah maklum kepada semua pegawai dan anggota terutamanya barisan hadapan ini jangan mudah terpengaruh dengan antivaksin, suka atau tidak kita perlu divaksin, kita tidak mahu bomba jadi pembawa penyakit," katanya dalam sidang media selepas meninjau operasi pemadaman kebakaran tanah gambut Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, di sini hari ini.

Norazam berkata, setakat ini seramai 895 senarai nama pegawai dan anggota fasa pertama diberi kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk divaksin.

Bagaimanapun katanya hanya 170 mereka yang sudah ditetapkan tarikh suntikan bagi fasa pertama ini.

"Mereka akan disuntik secara berperingkat bermula 16 Mac ini sehingga awal April ini.

"Ini membabitkan balai bomba dan penyelamat (BBP) di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Selangor pada 16 Mac ini, BBP di PKD Petaling (18 Mac); BBP di PKD Klang (pertengahan Mac sehingga awal April); BBP di PKD Kuala Langat, Sepang dan Hulu Langat (awal April)," katanya.

Setakat ini, hanya Norazam sahaja menerima suntikan vaksin keluaran Pfizer-BioNTech bersama 42 individu terawal di Selangor termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari di Hospital Shah Alam Khamis lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 5:21 PM