Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini dalam keadaan bersiap siaga dalam menghadapi perubahan musim kemarau di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, selepas berakhirnya monsun Timur Laut, lazimnya musim kemarau akan berlaku antara Mei hingga September dan ketika itu persediaan dilakukan sepenuhnya.

Menurutnya, bulan September makin hampir namun perubahan cuaca pula tidak menentu tetapi kesiap siagaan tetap dilakukan.

"Namun Alhamdulillah, tidak berlaku kebakaran besar seperti tahun sebelum ini.

"Cuma ribut, hujan, paras air naik menjadi cabaran buat anggota bomba ketika ini namun cuti tidak dibekukan. Cuti macam biasa tapi mod kesiap siagaan masih diteruskan walaupun selepas pandemik Covid-19 dan terus berlaku fenomena banjir serta kepada air dan banjir lumpur hinggakan kita tidak berhenti menjalankan tugas sehingga sekarang," katanya selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2021 dan Penyampaian Sijil 30 Tahun Perkhidmatan JBPM Kedah dan Perlis.

Hadir sama, Pengarah JBPM Kedah, Sayani Saidon dan Pengarah JBPM Perlis, Ruhisha Haris.

Dalam majlis itu, seramai 64 pegawai dan anggota dari JBPM Kedah menerima APC dan 12 daripadanya menerima sijil 30 Tahun Perkhidmatan manakala sembilan anggota dari JBPM Perlis menerima APC dan seorang daripadanya menerima sijil 30 Tahun Perkhidmatan.

Dalam pada itu, Mohammad Hamdan berkata, dalam keadaan sekarang, pihaknya sedang melakukan pemantauan cuaca dan mendapatkan informasi dari agensi berkaitan dalam kesiap siagaan menghadapi musim kemarau.

Beliau berkata, JBPM juga sudah mengenal pasti lokasi panas di beberapa negeri iaitu Selangor, Johor, Pahang, Kedah, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

"Kita telah pun merangka dan melakukan siap siagaan dari aset pemadaman kebakaran di "hot spot" tertentu

yang mana kita sudah pun meletakkan aset di pengkalan serta barisan hadapan.

"Kita fokuskan lokasi panas di negeri dahulu sebelum fokuskan di daerah. Misalnya kawasan lokasi panas yang dikenal pasti seperti Selangor iaitu di Banting, Johan Setia dan Sepang manakala di utara Pulau adalah di Pulau Pinang pula kerana ia tanah besar dan kawasan berbukit di sebelah pulau," katanya.

Mohammad Hamdan berkata, keanggotaan pasukan bomba yang bersiap siaga dalam satu-satu masa adalah seramai 3,600 orang yang bertugas pada satu syif manakala keseluruhan kakitangan yang bertugas dalam operasi adalah 12,500 tapi mereka bertugas mengikut syif A, B dan C.

Sementara itu, beliau berkata JBPM akan menubuhkan pasukan khas kepala air di samping pasukan Special Water Rescue Team (Swart) Team yang sedia ada iaitu di Langkawi.

Beliau berkata, mereka terdiri daripada penduduk tempatan yang telah ditauliahkan oleh JBPM dan mereka menerima elaun.

"Setakat ini statistik kelemasan lebih tinggi daripada kebakaran malah kita juga menubuhkan pasukan Bomba komuniti di kawasan Titi Hayun dan Baling berikutan fenomena kepala air yang berlaku di negeri ini sebelum ini untuk membantu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 8:40 PM
DATUK Seri Mohammad Hamdan (duduk tengah) dan Sayani Saidon (duduk dua kiri) bergambar bersama sebahagian penerima sijil pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021 dan Penyampaian Sijil 30 Tahun Perkhidmatan di Ibu Pejabat JBPM Kedah. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
DATUK Seri Mohammad Hamdan (duduk tengah) dan Sayani Saidon (duduk dua kiri) bergambar bersama sebahagian penerima sijil pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021 dan Penyampaian Sijil 30 Tahun Perkhidmatan di Ibu Pejabat JBPM Kedah. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR