Foto hiasan
Foto hiasan
Mohd Amin Jalil

Seremban: Empat lagi sekolah di Negeri Sembilan diarah tutup selama dua hari bermula hari ini akibat penularan Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, arahan penutupan sekolah itu dikeluarkan selepas didapati berlaku kes positif Covid-19 dalam kalangan guru dan murid.

Menurutnya, ia membabitkan dua sekolah di daerah ini iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sega dan Kolej Tuanku Kursiah (TKC) Nilai.

"Dua lagi sekolah ialah SK Si Rusa, Port Dickson dan Sekolah Agama Rembau, Rembau.

"Sekolah ini ditutup selama dua hari bagi membolehkan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) membuat penilaian risiko, pengesanan kontak rapat dan sekolah menjalankan proses disinfeksi," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnyaa, setakat ini terdapat sebanyak 39 sekolah di Negeri Sembilan sudah diarahkan tutup atas nasihat PKD sejak 22 April lalu.

Bagaimanapun, Mohamad Rafie berkata, 11 sekolah sudah dibuka semula.

"Penutupan sekolah boleh dilanjutkan melebihi tempoh dua hari berdasarkan saranan, nasihat dan penilaian risiko oleh PKD yang berkaitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 12:36 PM