FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Amin Jalil

Seremban: Lima lagi sekolah di Negeri Sembilan ditutup akibat Covid-19 menjadikan sebanyak 31 sekolah diarahkan tutup ketika ini.

Kelima-lima sekolah berkenaan diarahkan tutup selama dua hari bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, arahan penutupan sekolah terbabit dikeluarkan selepas didapati terdapat kes positif Covid-19 dalam kalangan guru dan muridnya.

Menurutnya, ia membabitkan tiga sekolah di daerah ini iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Sri Sendayan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sungai Salak dan SK Kompleks KLIA Nilai.

"Dua lagi sekolah ialah di Port Dickson iaitu SK Jimah Baru dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Tanah Merah.

"Sekolah ini ditutup selama dua hari bagi membolehkan PKD membuat penilaian risiko, pengesanan kontak rapat dan sekolah menjalankan proses disinfeksi," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, pertambahan itu menjadikan sebanyak 31 sekolah telah diarahkan tutup atas nasihat pejabat kesihatan daerah (PKD) sejak 22 April lalu.

Katanya, penutupan sekolah boleh dilanjutkan melebihi tempoh dua hari berdasarkan saranan, nasihat dan penilaian risiko oleh PKD yang berkaitan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 1:55 PM