MOTOSIKAL mangsa. FOTO Ihsan Pembaca
MOTOSIKAL mangsa. FOTO Ihsan Pembaca
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Pengusaha char kuetiau popular di Permatang Pauh, Pulau Pinang maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer KM 133.8 Lebuhraya Utara Selatan arah Utara dekat Seberang Jaya, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 7.15 malam itu, mangsa, Zamri Juhari, 33 yang menunggang motosikal berkuasa tinggi Honda CBR 1000 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, melalui siasatan, kemalangan itu membabitkan tiga kenderaan iaitu dua motosikal dan sebuah kereta.

"Insiden dipercayai apabila pemandu kereta berusia 52 tahun yang dalam perjalanan dari Seberang Jaya ke Sungai Dua yang berada di lorong paling kanan terdengar bunyi dentuman di sebelah kiri kereta dipandunya sebelum ternampak sebuah motosikal berkuasa tinggi terbabas ke kiri jalan.

"Pada masa sama terdapat motosikal jenis Yamaha 15 yang ditunggangi lelaki berusia 24 tahun tidak sempat mengelak motosikal berkuasa tinggi berkenaan menyebabkannya ia turut terbabas dan penunggangnya cedera," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, penunggang Yamaha Y15 itu memaklumkan bahawa ketika berada di lorong motosikal, dia melihat motosikal Zamri dalam keadaan terhuyung-hayang di hadapan motosikalnya.

"Ekoran impak pelanggaran itu mengakibatkan mangsa yang juga peniaga char kuetiau maut, manakala penunggang Yamaha 15 yang bekerja sebagai pembantu juruteknik kilang mengalami luka di tangan dan kaki.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat manakala penunggang Yamaha 15 turut dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan lanjut,"' katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 8:44 AM