Motosikal yang ditunggang mangsa terbabas sebelum merempuh penghadang jalan. FOTO IHSAN PDRM
Motosikal yang ditunggang mangsa terbabas sebelum merempuh penghadang jalan. FOTO IHSAN PDRM
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Penunggang motosikal maut selepas bergesel dengan sebuah kereta di Jalan Kepayan berhampiran lampu isyarat Pahlawan, di sini, malam semalam.

Dalam kejadian 8 malam itu, mangsa berusia 25 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan paramedik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).

Difahamkan, pemandu kereta Perodua Viva dan penunggang motosikal Yamaha Y15 sedang dalam perjalanan untuk melihat sebuah kenderaan yang ingin dibeli.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Deputi Superintendan Jo Ak Hang berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan pemandu kereta berusia 34 tahun dari Kota Kinabalu menghala ke Kampung Dumpil, Putatan.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta menukar laluan dari lorong kiri ke lorong paling kanan.

"Mangsa yang berada di lorong tengah juga cuba menukar ke lorong paling kanan sebelum bergesel dengan kereta itu menyebabkannya terbabas dan merempuh pembahagi tengah jalan.

"Lelaki itu yang mengalami kecederaan di bahagian muka dan badan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian pada 8.25 malam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke HQEI untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 January 2022 @ 12:06 PM