MAYAT penunggang motosikal Honda RS 150 yang maut dalam kemalangan di Kilometer 15.2 Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR). FOTO IHSAN PEMBACA
MAYAT penunggang motosikal Honda RS 150 yang maut dalam kemalangan di Kilometer 15.2 Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR). FOTO IHSAN PEMBACA
Amirul Aiman Hamsuddin


SEORANG maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan tiga motosikal di Kilometer 15.2, Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) di Kuala Selangor, semalam.

Kejadian jam 11 malam itu mengakibatkan mangsa, Muhammad Afiq Mohd Ideros, 25, yang menunggang motosikal Honda RS 150 maut di lokasi.

Manakala penunggang motosikal Yamaha Y15 dan Yamaha LC, Mohammad Alif Aikal Mohd Suhaimie, 22 dan Muhammad Iqbal Aliff, 25 serta pemandu kereta Toyota Vios, Wong Yih Jyh, 20, masing-masing cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Honda RS 150 dan Yamaha LC yang menunggang di lorong kanan jalan dari arah Kuala Selangor menghala ke Kuala Lumpur bergesel sesama sendiri.

Beliau berkata, kejadian menyebabkan Yamaha LC terbabas ke lorong kanan jalan.

"Honda RS 150 pula terbabas dan melanggar simen konkrit pembahagi jalan dan kemudian dilanggar oleh Toyota Vios dari arah sama.

"Akibat pelanggaran itu, mangsa (penunggang Honda RS 150) tercampak ke laluan bertentangan dan dilanggar motosikal Yamaha Y15 yang tidak sempat mengelak mangsa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ramli berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah badan meninggal dunia di tempat kejadian susulan kemalangan itu.

Menurutnya, mayat dibawa ke Hospital Tanjong Karang (HTK) untuk bedah siasat manakala tiga lagi mangsa yang mengalami kecederaan ringan dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," Aiman.


Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 4:41 PM