GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika melakukan aktiviti di pusat hiburan didapati kesalahan tertinggi dilakukan semalam membabitkan 112 kesalahan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, secara keseluruhan seramai 208 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP.

Daripada jumlah itu, katanya, 199 individu dikompaun manakala sembilan direman.

"Antara kesalahan direkodkan ialah aktiviti pusat hiburan (112), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri/pelanggan (27), tidak memakai pelitup muka (16) dan lain-lain kesalahan (53).

"Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 66,140 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Seramai 3,196 pasukan pematuhan membabitkan 14,654 anggota membuat pemantauan di 5,839 buah restoran, pasar raya (4,481), bank (3,936), penjaja (3,019), pasar awam/tani (2,184), kilang (2,163) dan pejabat kerajaan (731)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media mengenai perkembangan terkini Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), di sini, hari ini.

Menurutnya, turut dipantau ialah tempat ibadah (3,332), tempat riadah (1,810), terminal pengangkutan darat (1,759), terminal pengangkutan air (347) dan terminal pengangkutan udara (106).

Mengenai kawalan sempadan negara, katanya, Operasi Benteng berjaya menangkap sembilan pendatang asing tanpa izin (Pati) serta merampas tiga kenderaan darat.

"Dalam operasi itu juga, pihak berkuasa turut mengesan 115 buah bot/kapal di perairan negara melalui enam aktiviti penglihatan. Seramai tujuh Pati turut diusir melalui tiga aktiviti pengusiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 6:43 PM