ANGGOTA polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur membuat pemantauan SOP di sekitar Pasar Chow Kit sebelum Perintah Kawalan Pegerakan di laksanakan esok. FOTO Mohd Yusni Ariffin
ANGGOTA polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur membuat pemantauan SOP di sekitar Pasar Chow Kit sebelum Perintah Kawalan Pegerakan di laksanakan esok. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kerajaan mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya meningkatkan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di negeri dan kawasan hotspot yang dikenal pasti di bawah sistem amaran awal iaitu Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE).

Menerusi kenyataan media hari ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah-langkah penguatkuasaan oleh agensi penguatkuasaan yang lain juga akan dipertingkatkan di lapangan.

Sementara itu, katanya, semalam, 411 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP.

"Daripada jumlah itu, seramai 408 individu dikompaun manakala tiga lagi direman. Antara kesalahan direkodkan ialah gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (168) dan tidak memakai pelitup muka (94). Kesalahan lain, tiada penjarakan fizikal (61), aktiviti pusat hiburan (56) dan lain-lain (32)," katanya.

Beliau berkata, Task Force Operasi Pematuhan diketuai PDRM melakukan 67,229 pemeriksaan semalam, bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, seramai 4,205 pasukan pematuhan membabitkan 15,697 anggota membuat pemantauan di 4,580 pasaraya, restoran (4,845), kilang (2,253), bank (4,250), pejabat kerajaan (1,183) dan penjaja (3,789).

"Turut dipantau ialah pasar awam/tani (2,082), tempat ibadah (3,353), tempat riadah (1,655), terminal pengangkutan darat (1,545), terminal pengangkutan air (332) dan terminal pengangkutan udara (104)," katanya.

Berkenaan kawalan sempadan negara, katanya, Operasi Benteng semalam berjaya menangkap 14 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan merampas 11 kenderaan darat.

Ismail Sabri berkata, sebanyak 144 buah bot/kapal turut dikesan di perairan negara melalui lapan aktiviti penglihatan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 7:12 PM