GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Seramai 107 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 89 individu dikompaun manakala 18 ditahan reman untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Mengulas kesalahan direkodkan, Ismail Sabri berkata, ia membabitkan aktiviti pusat hiburan (75), tiada penjarakan fizikal (24), gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (2) dan enam lain-lain kesalahan.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata, Task Force Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 52,287 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP.

Katanya, seramai 3,370 pasukan pematuhan membabitkan 14,730 anggota membuat pemantauan di 5,730 restoran, pasar raya (4,500), bank (3,303), penjaja (4,125), pasar awam/tani (89), kilang (2,506) dan pejabat kerajaan (823).

"Tempat ibadah (169), tempat riadah (19,539), terminal pengangkutan darat (3,434), terminal pengangkutan air (1,720) dan terminal pengangkutan udara (572)," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengenai kawalan sempadan negara, katanya, seramai 28 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dalam Op Benteng semalam.

Katanya, turut ditahan lima tekong selain pihak berkuasa juga merampas 12 kenderaan darat.

"Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 80 bot/kapal di perairan negara. Lima Pati turut diusir melalui satu aktiviti pengusiran," katanya.

Mengenai kuarantin wajib, beliau berkata, seramai 910 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa semalam sebelum dikuarantin di beberapa stesen kuarantin di seluruh negara.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mac 2021 @ 6:18 PM