MENTERI Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
MENTERI Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Amir Abd Hamid


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menahan 515 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam.

Daripada jumlah itu, 440 individu dikompaun manakala 69 individu direman dan enam lagi dijamin.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara kesalahan ingkar arahan itu termasuk gagal menyediakan peralatan/catitan keluar masuk (18), tidak memakai pelitup muka (17) serta aktiviti dengan membabitkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (252).

"Selain itu, kesalahan ingkar arahan membabitkan aktiviti di dalam pub/kelab malam (205), gagal mematuhi arahan kuarantin (dua), premis beroperasi lebih masa (10), premis tanpa lesen (dua), aktiviti perjudian (tujuh) dan gagal melunaskan bayaran kompaun (dua).

"Semalam, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM membuat 58,185 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPP.

"Sebanyak 4,929 Pasukan Pematuhan yang membabitkan 16,863 anggota membuat pemantauan di 4,134 pasar raya, 5,083 restoran serta 1,370 penjaja, 1,651 kilang, 3,780 bank dan 853 pejabat kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media mengenai pelaksanaan hari ke-160 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan hari ke-76 PKPP di Kuala Lumpur, hari ini.

Ismail Sabri berkata, turut dipantau sebanyak 1,074 terminal pengangkutan darat, 237 terminal pengangkutan air serta 104 terminal pengangkutan udara.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2020 @ 5:05 PM