GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Abd Hamid

PASUKAN Petugas Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan 70,190 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 4,358 pasukan pematuhan membabitkan 16,422 anggota membuat pemantauan di 4,183 pasar raya, 5,987 restoran, 1,377 penjaja, 1,494 kilang, 3,614 bank dan 841 pejabat kerajaan.

Menurutnya, pemantauan juga dilakukan di 1,195 terminal pengangkutan darat, 250 terminal pengangkutan air serta 164 terminal pengangkutan udara.

"PDRM menahan 29 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Daripada jumlah itu, seramai lapan individu direman manakala 21 individu dikenakan kompaun.

"Antara kesalahan ingkar PKP termasuk aktiviti dalam pub atau kelab malam (tiga individu), aktiviti dengan membabitkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (13 individu) serta aktiviti yang melanggar SOP (13 individu)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media hari ini mengenai pelaksanaan PKP hari ke-117 dan hari ke-32 PKPP.

Sementara itu, katanya, berkenaan kawalan sempadan negara, PDRM sudah membuat 68 sekatan jalan raya (SJR) Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 43,598 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus.

"PDRM menahan tujuh warganegara asing atas kesalahan imigresen. Kerajaan akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram. Agensi penguatkuasa aktif mengetatkan kawalan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus.

"Operasi Benteng ini membabitkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) yang mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 3:33 PM