Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Dua lelaki yang disyaki membunuh anjing liar dengan memanah haiwan itu di Seberang Jalan Putra, di sini Khamis lalu ditahan hari ini.

Mereka ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar secara berasingan pada 4 dan 5 petang hari ini susulan laporan yang dibuat pengadu semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, suspek pertama berusia 30-an ditahan di sebuah kelab golf di Jitra.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati, suspek yang menetap di rumah pangsa Seberang Terus, Mergong itu tidak mempunyai rekod jenayah dan ujian saringan awal air kencing terhadapnya mendapati dia bebas dari dadah.

"Turut dirampas dua busur panah, satu tabung pengisi anak panah warna hitam dan 21 anak panah yang ditemui di rumah suspek pertama.

"Tangkapan dilakukan terhadap suspek kerana melakukan penganiayaan terhadap haiwan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Shukri berkata, suspek kedua ditahan pada 5 petang di tepi jalan Kampung Hilir, Kepala Batas, dekat sini.

Beliau berkata, suspek berusia 20-an itu yang berasal dari Bukit Pinang itu juga didapati bebas dari dadah dan tidak mempunyai rekod lampau.

"Tangkapan terhadap suspek kedua juga dilakukan kerana dia terbabit dalam kes melakukan penganiayaan terhadap haiwan.

"Kedua-dua suspek akan diserah kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 29(1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015/ Seksyen 45 Akta Binatang 1953," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, polis menerima laporan dari pengadu yang memaklumkan kejadian anjing dipanah sehingga mati di Seberang Jalan Putra seperti yang ditular di laman sosial, semalam.

Pengadu memaklumkan perkara selepas melihat status yang dimuat naik seorang pemilik sebuah akaun Facebook mengenai anjing liar yang mati dibunuh dengan panah di kawasan berkenaan.

Berikutan itu, polis mengesan individu yang disyaki terbabit dalam kejadian itu sejurus laporan dibuat.

SUSPEK pertama  (tengah) dan suspek kedua (baju hitam, belakang) yang disyaki membunuh anjing liar dengan panah ditahan. FOTO Zuliaty Zulkifli.
SUSPEK pertama (tengah) dan suspek kedua (baju hitam, belakang) yang disyaki membunuh anjing liar dengan panah ditahan. FOTO Zuliaty Zulkifli.

Berita berkaitan

JPV buru pemanah bunuh anjing liar

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mac 2021 @ 9:33 PM