BERNAMA

Seremban: Seorang lelaki ditahan disyaki menembak anjing liar menggunakan senapang patah di Pantai, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan pada 9.15 malam dan polis turut merampas selaras senapang patah bersama sembilan peluru dan lima kelongsong daripadanya.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian daripada seorang lelaki berusia 25 tahun pada 7.43 malam, menyatakan mendengar bunyi empat das tembakan ketika memancing berhampiran sebuah kilang pasir di Batu 9, Kampung Golai, Pantai.

"Pengadu mendapati tiga ekor anjing dipercayai ditembak lelaki berkenaan menggunakan senapang patah, dengan dua daripadanya mati, manakala seekor cedera dan telah lari dari kawasan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Abdul Malik, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan melakukan perbuatan terbabit akibat marah kerana anjing berkenaan cuba menggigit anaknya dan memakan haiwan peliharaan.

Beliau berkata, lelaki itu yang tidak memiliki rekod jenayah direman hingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 30(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015.

"Senapang patah yang digunakan adalah milik saudara suspek. Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 9:28 PM