BANGKAI anjing liar disyaki mati disebabkan diracun terbiar di beberapa kawasan sekitar bandaraya Kuala Terengganu. FOTO ihsan PPHTT
BANGKAI anjing liar disyaki mati disebabkan diracun terbiar di beberapa kawasan sekitar bandaraya Kuala Terengganu. FOTO ihsan PPHTT
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sedang menjalankan siasatan punca kematian puluhan anjing liar di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini.

Pengarah JPV negeri, Dr Anun Man berkata, siasatan secara menyeluruh termasuk mengenal pasti pelaku yang menyebabkan punca anjing liar mati dilakukan sejak semalam.

"Setakat ni masih terlalu awal untuk kita kaitkan kes kematian anjing liar disebabkan termakan racun.

"Pegawai JPV bersama dengan ahli Persatuan Penyelamat Haiwan Terbiar Terengganu (PPHTT) sudah ke lokasi bangkai anjing ditemui terutama di Kampung Tiong dan Pulau Warisan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

PPHTT melalui Facebook mendakwa operasi penghapusan anjing liar dijalankan di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu dengan memberi makanan beracun, kemungkinan dicampur dengan racun perosak dilakukan oleh pihak-pihak tertentu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri Dr Azman Ibrahim tampil menafikan yang mendakwa kerajaan negeri mengarahkan anjing liar diracun walaupun haiwan itu mengancam keselamatan manusia dan ternakan.

Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi dilaporkan berkata, kerajaan berusaha menggunakan kaedah tertentu bagi mengawal populasi anjing liar daripada menjadi tidak terkawal.

Katanya, tindakan meracun anjing liar adalah salah walaupun haiwan itu mengancam keselamatan orang awam dan ternakan.

Ketika mengulas dakwaan ada pelaku yang meracun anjing liar, Dr Anun berkata, siasatan dibuat termasuk melakukan pengesanan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

"Kita turut melakukan pemantauan dan pengesanan atas dakwaan kemungkinan ada pihak tertentu yang mencampurkan racun perosak menyebabkan anjing liar mati," katanya.

Katanya, tindakan boleh diambil mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015.

"Orang ramai yang mempunyai bukti anjing liar mati diracun individu diminta menyalurkan maklumat kepada JPV," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 10:40 AM