Zuliaty Zulkiffli

Jitra: Guru agama ditahan polis, semalam selepas disyaki membuat hantaran berbaur ugutan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui kumpulan WhatsApp sebelum ianya ditular di Facebook (FB).

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, guru agama berusia 43 tahun yang mengajar di sekolah agama di Kulim, ditahan 10 malam tadi di rumahnya.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya menerima lima laporan polis berhubung kenyataan guru agama berkenaan iaitu masing-masing satu di Kuala Muda, Kota Setar, Kubang Pasu, Kulim dan Padang Terap.

Fisol berkata, suspek ditahan sepasukan pegawai dan angota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim dan BSJD IPD Padang Terap berdasarkan laporan yang diterima pengadu.

Beliau berkata, suspek direman bermula hari ini sehingga 4 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia (AKMM) yang boleh membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM50,000.

"Siasatan kini diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

"Selain itu, polis turut merampas telefon bimbit milik suspek untuk membantu siasatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, di sini hari ini.

FISOL (tiga kanan) menunjukkan gambar tangkap layar komen guru agama yang ditahan. FOTO Zuliaty Zulkiffli
FISOL (tiga kanan) menunjukkan gambar tangkap layar komen guru agama yang ditahan. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2023 @ 5:42 PM