ANJING liar ditemui mati dipercayai dipanah seorang lelaki seperti yang ditular di laman sosial Facebook di Seberang Jalan Putra. FOTO IHSAN Pembaca
ANJING liar ditemui mati dipercayai dipanah seorang lelaki seperti yang ditular di laman sosial Facebook di Seberang Jalan Putra. FOTO IHSAN Pembaca
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Polis mengesahkan menerima laporan kejadian seorang lelaki membunuh anjing liar dengan memanah haiwan itu di Seberang Jalan Putra, di sini, seperti yang ditular di laman sosial, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pengadu membuat laporan polis mendakwa melihat status dimuat naik oleh seorang pemilik sebuah akaun Facebook mengenai anjing liar yang mati dibunuh dengan panah di kawasan berkenaan.

Menurutnya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), seorang lelaki menaiki Proton Waja didapati berada di kawasan itu ketika kejadian, namun nombor pendaftarannya gagal dikenal pasti.

"Berdasarkan siasatan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) kelihatan imej suspek melakukan aksi memanah muncul dalam CCTV dan senjata yang digunakan iaitu busar serta anak panah.

"Dalam rakaman itu, suspek memegang alat memanah dan memanah anjing liar antara 4.21 pagi hingga 5.26 pagi Khamis lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Shukri berkata, kes berkenaan diserahkan kepada JPV untuk siasatan mengikut Seksyen 29(1)(E) Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mac 2021 @ 3:02 PM