Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Selangor menafikan mesej tular di aplikasi WhatsApp berkaitan pendaftaran terbuka kepada orang awam untuk suntikan vaksin di Klinik Kesihatan Tanjong Karang.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook, PKD Kuala Selangor menafikan semua maklumat yang terkandung dalam mesej itu berikutan ia tidak benar.

Dalam mesej itu, dilaporkan kononnya Klinik Kesihatan Tanjong Karang membuka senarai untuk suntikan vaksin dan hanya diadakan sebanyak dua kali serta terhad kepada 200 orang sehari.

"Untuk makluman, slot vaksinasi adalah terhad bagi pesakit kumpulan penyakit tidak berjangkit yang sedang dalam rawatan di Klinik Kesihatan Tanjong Karang.

"Pesakit berkenaan telah dikenal pasti sesuai untuk divaksin oleh doktor yang merawat.

"Pesakit berkenaan juga telah mendaftar dengan aplikasi MySejahtera dan bersetuju untuk menerima suntikan vaksin pada tarikh yang akan ditetapkan," katanya.

Sehubungan itu, katanya, individu yang hadir ke klinik bagi tujuan mendapatkan suntikan vaksin tidak akan dilayan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 8:42 PM