GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: "Selepas ambil vaksin itu, tak perlu ambil cuti sakit pun sebab memang sihat. Rutin harian di rumah dan tempat kerja dibuat macam biasa," kata jururawat Klinik Kesihatan (KK) Presint 9, Putrajaya, Sheilla Melissa Sikin, 31.

Dia adalah seorang daripada enam individu terawal di negara ini yang menerima suntikan vaksin Covid-19, Pfizer-BioNTech dos pertama bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 24 Februari lalu yang bakal disuntik dos kedua 17 Mac ini.

Selain Sheilla dan Muhyiddin, turut menerima suntikan ketika itu ialah Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Penolong Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya, Khairul Asraf Mohd Yasin, 44, Pegawai Perubatan KK Presint 9, Putrajaya, Dr Tan Yee Ling, 30, dan pemandu ambulans PKD Putrajaya Clement Marai Francis, 36.

Sheilla ketika dihubungi berkata, dia yang biasanya aktif ke gimnasium meneruskan minatnya itu seperti sediakala sejak minggu terawal selepas disuntik dos pertama.

"Dalam lima hari lagi akan ambil vaksin dos kedua, saya sudah bersedia. Apa boleh saya katakan, tiada masalah okay sahaja, tiada demam, pening atau muntah.

"Memang tidak mengalami demikian, cuma hari kedua ada rasa sikit lenguh di tempat cucuk itu pun tidak mengganggu tugas harian," katanya.

Menurutnya, rutin sebagai ibu kepada seorang anak perempuan Xerxes, 3, dan isteri kepada Ronnie Blasius, 34, penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta kerjanya sebagai jururawat langsung tidak terganggu.

Sementara itu, Khairul Asraf berkata, hari kedua selepas dicucuk vaksin dia tetap bermain sukan kegemarannya, badminton dan berbasikal.

"Setakat dua minggu selepas dicucuk dos pertama 24 Februari lalu, macam biasa tiada apa-apa yang luar biasa.

"Jika berdasarkan slot temujanji, saya akan menerima suntikan dos kedua di KK Presint 18, Putrajaya, jam 2 petang pada 17 Mac nanti iaitu selepas selesai 21 hari dos pertama.

"Untuk masyarakat, berhati-hatilah menerima pelbagai maklumat tidak tepat ditularkan di media sosial. Bagi kami sejauh ini tiada masalah kesihatan selepas disuntik vaksin Covid-19," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Suntikan vaksin Covid-19 di negara ini yang diterima Perdana Menteri sebagai individu pertama di Malaysia pada 24 Februari lalu menandakan bermulanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Suntikan vaksin Covid-19 dikenali sebagai Comirnaty keluaran Pfizer-BioNtech itu menjadi titik tolak awal untuk negara mencapai objektif imuniti komuniti, ditambah vaksin keluaran Astra Zeneka, Sinovac, Cansino dan Gamaleya.

Sasaran kerajaan, sekitar 80 peratus daripada populasi penduduk disuntik vaksin Covid-19 dan setakat 9 Mac seramai 195,923 individu dalam kumpulan fasa pertama PICK sudah divaksin.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mac 2021 @ 1:54 PM