ANGGOTA bomba memotong pokok getah yang menghempap sebuah kereta pagi tadi. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba memotong pokok getah yang menghempap sebuah kereta pagi tadi. FOTO ihsan bomba
Ruwaida Md Zain


Klang: Dua beranak terselamat selepas sebatang pokok getah setinggi 24 meter menghempap kenderaan dinaiki di Jalan Raja Nong menghala ke Taman Sentosa, di sini pagi tadi.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya yang menerima panggilan pada 9.18 pagi, tiba di lokasi kejadian empat minit kemudian.

"Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Andalas tiba di lokasi kejadian dan mendapati pokok getah tumbang melintang jalan dan menghempap sebuah Proton Exora yang dipandu lelaki berumur 50-an bersama penumpang lelaki berumur 17 tahun.

"Kedua-dua mangsa keluar sendiri sebelum pihak bomba tiba di lokasi dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Pihak bomba bertindak memotong dan mengalihkan pokok berkenaan ke tempat selamat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Norazam berkata, ketika kejadian pihaknya dimaklumkan pemandu dalam perjalanan membawa anak lelaki mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

"Pihak bomba dimaklumkan kedua-dua mangsa selamat, bagaimanapun kenderaan yang dinaiki mereka mengalami kerosakan teruk pada bumbung dan cermin hadapan kereta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 11:15 AM