Jururawat Unit Bergerak Vaksinasi Covid-19 Padang Terap, Siti Rosmaniza Osman menyukat dos vaksin Pfizer-BioNTech untuk warga emas di Pusat Jagaan Rumah Orang Tua Bukit Bethel. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Jururawat Unit Bergerak Vaksinasi Covid-19 Padang Terap, Siti Rosmaniza Osman menyukat dos vaksin Pfizer-BioNTech untuk warga emas di Pusat Jagaan Rumah Orang Tua Bukit Bethel. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Siti Haliza Yusop


Kuala Lumpur: Unit Bergerak Vaksinasi membuat kunjungan ke pusat jagaan warga emas di seluruh negara bagi memastikan pelbagai lapisan masyarakat menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi membentuk imuniti berkelompok.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) melalui ciapan di Twitter, memuat naik beberapa gambar kunjungan unit bergerak itu termasuk di Pulau Pinang dan di Hulu Langat, Selangor.

Unit Bergerak Vaksinasi Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut, Pulau Pinang, setakat ini sudah mengunjungi 54 pusat jagaan warga emas dan sehingga kini 1,330 warga emas dan 663 penjaga sudah divaksin.

"Terdapat 80 pusat (jagaan warga emas) dan kesemua dijangka menerima dos lengkap pada 30 Jun ini," katanya.

Melalui satu lagi ciapan di Twitter @JKJAVMY, turut dimuat naik gambar kunjungan Unit Bergerak Vaksinasi ke pusat jagaan warga emas di Kuala Langat.

"Mereka berisiko tinggi dan perlu dilindungi," katanya.

Isnin lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dipetik berkata, Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) diberi kebebasan menggunakan apa juga cara bagi memastikan penduduk di kawasan dan negeri masing-masing mendapat vaksinasi Covid-19.

Ia adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan dalam memastikan penduduk di negara ini mendapat vaksinasi terhadap wabak berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 5:40 PM