Roselan Ab Malek


Lipis: Program suntikan vaksin Cansino untuk masyarakat Orang Asli yang menetap di pedalaman seluruh negara dijangka dapat diselesaikan pada Oktober depan.

Setakat ini, seramai 4,215 sudah menerima vaksin satu dos jenis Cansino yang bermula awal bulan ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, hampir 83 peratus masyarakat Orang Asli menerima suntikan vaksin termasuk jenis Pfizer dan Sinovac.

"Daripada 144,180 masyarakat Orang Asli yang sepatutnya menerima vaksin sehingga hari ini, kita dapat vaksinkan seramai 124,000 orang. Ini bererti 83 peratus sudah divaksin.

"Pada awalnya vaksinasi agak perlahan kerana kekurangan vaksin tetapi sekarang tersangat laju dan saya percaya dalam Oktober depan, kita boleh selesaikan 100 peratus kerana kita hanya guna vaksin satu dos," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Jangkauan Luar Vaksinasi Masyarakat Orang Asli ke Pos Betau, Pos Lenjang dan Pos Sinderut menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), hari ini.

Menurutnya, pihaknya akan menjelajah ke kawasan pedalaman dalam usaha vaksinasi masyarakat Orang Asli dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

"Kita akan mula siri jelajah menggunakan helikopter bagi mengatasi cabaran akses di kawasan pedalamani di mana bekalan vaksin akan dihantar ke kawasan terbabit.

"Justeru, kita berharap selepas tempoh 28 hari yang ditetapkan bagi vaksin satu dos ini, masyarakat Orang Asli yang menerima vaksin ini akan lebih yakin dalam menjalankan aktiviti ekonomi termasuk bergaul dengan masyarakat luar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 8:54 PM