Zuliaty Zulkiffli


Kubang Pasu: Cubaan sindiket penyeludupan membawa 24 kilogram (kg) dadah jenis ganja melalui kawasan Hutan Simpan Sungai Badak berdekatan sempadan Malaysia-Thailand malam tadi gagal apabila kegiatan itu dikesan polis.

Dalam serbuan pada jam 7 malam itu, dadah bernilai kira-kira RM60,000 itu ditemui anggota Balai Polis Bukit Kayu Hitam yang melakukan pemantauan di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, anggota terbabit menemui satu guni plastik berikat tersorok di cerun bukit di hutan simpan berkenaan.

"Anggota polis kemudian bertindak merampas guni itu namun tiada sebarang pergerakan individu dikesan menghampiri guni berkenaan.

"Disebabkan hari semakin gelap, guni berkenaan dibawa ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di sini, hari ini.

Mohd Ismail berkata, pemeriksaan ke atas guni plastik itu menemui 24 ketulan mampat disyaki ganja dibalut dengan plastik pelbagai warna.

Katanya, kawalan ketat di kawasan pagar sempadan mungkin menyebabkan dadah itu cuba diseludup melalui kawasan hutan pula.

"Kawasan hutan itu terletak kira-kira 500 meter dari sempadan dan kita percaya dadah itu dibawa masuk dari Thailand untuk pasaran negara ini.

"Kita percaya lokasi itu menjadi lokasi transit untuk meletakkan dadah oleh penjenayah dari negara jiran sebelum diambil individu tempatan," katanya.

Mohd Ismail berkata, ini rampasan terbesar membabitkan dadah di daerah ini dan tahun lalu di kawasan sama pihaknya pernah merampas daun ketum.

MOHD Ismail Ibrahim (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan ketulan mampat ganja yang ditemui di dalam kawasan hutan simpan. FOTO Amran Hamid
MOHD Ismail Ibrahim (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan ketulan mampat ganja yang ditemui di dalam kawasan hutan simpan. FOTO Amran Hamid

"Harga pasaran satu kilogram mampat ganja ketika ini bernilai kira-kira RM2,500 dan dadah berkenaan akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisa.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan kita sedang mengesan mereka yang terbabit dalam kegiatan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2021 @ 5:14 PM