Zuliaty Zulkiffli

Jitra: Seorang warga emas antara dua lelaki yang ditahan bersama rampasan 53 kilogram ganja mampat yang disembunyikan dalam bonet sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di parkir bawah tanah sebuah pasar raya di daerah Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Asisten Komisioner Mohd Taufik Maidin berkata, serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu pada jam 6.50 petang.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di bahagian bonet Honda CRV itu menemukan 50 bungkusan plastik ganja mampat itu yang dialas dengan kotak dan disusun rapi di bahagian enjin.

"Suspek pertama berusia 52 tahun berasal dari Jitra manakala suspek kedua berusia 68 tahun berasal dari Kangar, Perlis.

"Hasil ujian saringan terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka negatif dadah dan suspek kedua mempunyai rekod jenayah lampau," katanya pada sidang media di IPD Kubang Pasu di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan.

Susulan itu polis turut merampas wang tunai berjumlah RM2,500 dan Thai Baht 1,320 (RM295.30) dan empat lagi kenderaan iaitu sebuah Nissan Almera, Toyota Camry, Volvo dan Volkswagen Tiguan dalam serbuan di Kangar dan Kuala Perlis.

Beliau berkata, nilai dadah yang dirampas adalah RM162,750 manakala jumlah keseluruhan sitaan termasuk kenderaan adalah sebanyak RM182,815.

"Kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga 10 Ogos ini untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Sekiranya terlepas, ganja itu mampu digunakan oleh sekurang-kurangnya 200,000 penagih dadah di sekitar kawasan ini.

"Kita percaya ganja itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk dihantar ke Lembah Klang," katanya.

Mohd Taufik berkata, modus operandi mereka adalah menggunakan kenderaan bernombor pendaftaran Thailand dan masuk melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam melalui Danok.

Beliau berkata, mereka kemudian menjadikan kawasan Jitra sebagai transit sebelum dibawa ke destinasi seterusnya.

"Plastik yang digunakan untuk membungkus ganja mampat itu berkualiti dan lebih tebal menyebabkan ganja berkenaan tidak rosak.

"Aktiviti ini dipercayai berlaku sejak awal tahun ini dan siasatan lanjut masih dilakukan. Ini adalah rampasan terbesar membabitkan ganja setakat ini," katanya.

MOHD Taufik (tengah) menunjukkan sebahagian dadah jenis ganja mampat seberat 53 kg bernilai RM162,750 yang dirampas pada 3 Ogos lalu. FOTO Zuliaty Zulkiffli
MOHD Taufik (tengah) menunjukkan sebahagian dadah jenis ganja mampat seberat 53 kg bernilai RM162,750 yang dirampas pada 3 Ogos lalu. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2023 @ 3:07 PM