SUSPEK ditahan bersama rokok seludupFOTO ihsan PGA
SUSPEK ditahan bersama rokok seludupFOTO ihsan PGA
Abdul Rahemang Taiming


Tawau : Taktik lelaki menyembunyikan 74,900 bungkus rokok seludup dalam lori tangki minyak dipandunya gagal mengaburi Pasukan Gerakan Am (PGA) apabila dia ditahan di Batu 21 Jalan Apas, Balung, dekat sini, 7.20 pagi Rabu lalu.

Suspek berusia 39 tahun itu ditahan susulan maklumat dan risikan.

Difahamkan, lori berkenaan dalam perjalanan dari pusat bandar menuju ke Semporna sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 14, PGA Tawau, Deputi Superintendan Abd Halim Ahmad berkata, pemeriksaan pada tangki menemukan beberapa kotak dan bungkusan memenuhi ruang simpanan lori itu.

"Kesemua kotak dan bungkusan itu mengandungi pelbagai jenis dan jenama rokok seludup dipercayai tanpa cukai kastam dan disyaki cuba diedar untuk pasaran tempatan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Abd Halim berkata nilai keseluruhan rampasan termasuk lori dianggarkan berjumlah RM1,137,860.

"Tangkapan dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siastan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(v)(a) akta sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2021 @ 12:09 PM