PGA merampas 362,600 bungkus rokok seludup dianggarkan bernilai RM8.69 juta selepas menahan sebuah lori dipandu seorang lelaki di tepi jalan Kampung Iban, Merotai. FOTO Ihsan PGA
PGA merampas 362,600 bungkus rokok seludup dianggarkan bernilai RM8.69 juta selepas menahan sebuah lori dipandu seorang lelaki di tepi jalan Kampung Iban, Merotai. FOTO Ihsan PGA
BERNAMA

Tawau: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 362,600 bungkus rokok seludup dianggarkan bernilai RM8.69 juta selepas menahan sebuah lori dipandu seorang lelaki di tepi jalan Kampung Iban, Merotai, di sini, malam tadi.

Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau Superintendan Mohd Yacob Murad berkata, pihaknya melakukan intipan menerusi Op Kontraban pada 10 malam dan mengesan lori dipandu lelaki berusia 37 tahun dalam keadaan mencurigakan dengan bahagian belakang lori ditutupi kanvas.

"Pemeriksaan ke atas lori menemukan 604 kotak besar berisi pelbagai jenama rokok seludup yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran di negeri ini.

"Kesemua rokok yang ditemukan dianggarkan bernilai RM8,690,888," katanya dalam kenyataan.

Mohd Yacob berkata, pihaknya menahan pemandu lori dan merampas kenderaan itu serta satu telefon bimbit.

Katanya, lelaki itu dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 3:34 PM