SEBAHAGIAN arak dirampas daripada suspek. FOTO ihsan PGA Briged Sabah
SEBAHAGIAN arak dirampas daripada suspek. FOTO ihsan PGA Briged Sabah
Juwan Riduan


Papar: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah merampas rokok, minuman keras dan diesel seludup dianggarkan bernilai RM6.1 juta dalam empat serbuan berasingan di tiga daerah di negeri ini, bermula 8 Februari sehingga Rabu lalu.

Dalam serbuan itu, pasukan PGA Briged Sabah turut menahan 12 individu termasuk empat lelaki dipercayai warga asing.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, semua rampasan itu membabitkan dua serbuan di Tawau serta masing-masing satu di Lahad Datu serta Penampang.

"Serbuan pertama membabitkan rampasan diesel di stor di Jalan Dr Yamamoto, Tawau pada 4 petang dan hasil pemeriksaan terdapat dua lori tangki berisi 16,900 liter diesel, motosikal serta kenderaan pacuan empat roda bernilai RM274,679.

"Dalam serbuan itu, tujuh lelaki berusia antara 17 hingga 53 tahun ditahan dan stor itu dipercayai dijadikan tempat menjalankan aktiviti menjual diesel bersubsidi," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohd Abduh berkata, serbuan seterusnya di Tawau membabitkan rampasan rokok disembunyikan di dalam lori tangki di Jalan Batu 21, Sungai Balung, Jalan Apas.

Menurutnya, serbuan dilakukan pada 7.20 pagi Rabu lalu selepas Pasukan Risikan Batalion 14 PGA menerima maklumat awam dan menahan lori tangki di lokasi berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan menemui sejumlah rokok disembunyikan di dalam tangki lori dengan jumlah rampasan bernilai RM1,137,860 dan seorang lelaki berusia 39 tahun turun ditahan.

"Rampasan ketiga dan keempat berlaku pada Rabu lalu iaitu membabitkan rampasan rokok dan minuman keras masing-masing di Lahad Datu dan Penampang.

"Serbuan pada 12.30 tengah hari dilakukan Pasukan Risikan Batalion 17 PGA di sebuah stor di Jalan Segama, Lahad Datu, dan menemui 29,321 karton pelbagai jenis rokok dan 66 bekas tembakau tanpa cukai bernilai RM4,111,132.

"Seorang lelaki berusia 33 tahun yang mengaku sebagai pekerja stor berkenaan ditahan untuk membantu siasatan.

"Rampasan seterusnya dibuat di empat premis perniagaan dan sebuah rumah di kawasan Commercial Centre Penampang pada 9.25 malam dan menemui pelbagai jenis minuman keras bernilai RM264,385 disyaki tanpa cukai bersama tiga lelaki berusia antara 20 hingga 49 tahun," katanya.

Beliau berkata, semua barang ditemui dalam empat serbuan itu dirampas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Menurutnya, bagi rampasan diesel, kes diserahkan kepada Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Tawau untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2021 @ 3:19 PM