PELBAGAI jenis barangan keperluan, minuman keras dan rokok yang dirampas oleh PGA Sarawak. FOTO Melvin Joni
PELBAGAI jenis barangan keperluan, minuman keras dan rokok yang dirampas oleh PGA Sarawak. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni


Kuching: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak merampas rokok dan minuman keras seludup dianggarkan bernilai lebih RM3 juta di daerah ini dan Miri, semalam.

Komander PGA Sarawak, Senior Asisten Komisioner Mancha Ata berkata, pemeriksaan ke atas sebuah bengkel di Batu 13, Jalan Kuching-Serian di sini, kira-kira jam 1 pagi semalam merampas pelbagai rokok dan minuman keras.

Katanya, serbuan dilakukan Unit Risik Ibu Pejabat PGA Briged Sarawak itu turut menahan lima lelaki tempatan.

Katanya, pemeriksaan ke atas tiga lori di bengkel terbabit menemukan 5,000 karton rokok dan 1,697 kotak minuman keras dipercayai barang seludup.

"Nilai rampasan termasuk tiga lori adalah RM1.34 juta," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan tangkapan serta rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan untuk tindakan selanjutnya.

Manakala di Miri, sejumlah 2,073,600 batang rokok kretek dirampas yang dianggarkan bernilai RM1.7 juta.

Menurut Mancha, kejayaan Op Libas oleh pasukan Unit Risik Batalion 12 PGA Miri itu hasil serbuan dan pemeriksaan ke atas sebuah rumah di King's Park Miri, Jalan Bintulu-Miri sekitar jam 5.45 petang semalam.

Katanya, rumah berkenaan disyaki dijadikan tempat penyimpanan rokok seludup itu dan semua rampasan dibuat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan diserahkan kepada IPD Miri untuk tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu Mancha berkata, Batalion 11 PGA Batu Kawa turut menemukan pelbagai barangan keperluan harian ketika menjalankan rondaan Op Benteng di kawasan Gua Ming, Sri Aman kira-kira jam 10 pagi Selasa lalu.

Katanya, kesemua barangan keperluan itu disyaki cuba diseludup ke negara jiran melalui jalan tikus di kawasan sempadan negara.

"Barangan yang ditemukan ialah sebuah tong gas memasak, empat botol racun rumpai, 18 karton rokok kretek, 240 bungkusan tembakau, 15 paket minyak masak, 50 tin sardin, 12 paket biskut, 150 bungkusan keropok ayam serta 150 bungkusan keropok sotong yang dianggarkan bernilai RM4,600," katanya.

Beliau berkata, rampasan dibuat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan Akta Kawalan Bekalan 1961, serta diserahkan kepada Balai Polis Pantu untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2021 @ 2:38 PM