GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Seramai 426 individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 404 dikompaun manakala 21 lagi direman dan seorang dijamin.

Beliau berkata, ia membabitkan kesalahan gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (93), tidak memakai pelitup muka (88), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (81), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (40), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (24), makan dan minum di premis tanpa kebenaran (20), mengadakan majlis tanpa kebenaran (6) dan lain-lain (74).

"Berkaitan Ops Benteng, 23 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditangkap, lima kenderaan darat dirampas manakala 164 bot/kapal turut dikesan di perairan negara melalui lima aktiviti penglihatan.

"Seramai 112,941 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 April tahun lalu.

"Seramai 931 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa negara dan semuanya dikuarantin wajib di stesen kuarantin seluruh negara semalam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, sehingga kini, seramai 104,706 orang dibenarkan pulang manakala 477 lagi dibawa ke hospital.

Menurutnya, seramai 251,101 pekerja warga asing sudah menjalani ujian saringan Covid-19 membabitkan 10,500 majikan.

"Daripada jumlah itu, 4,735 orang disahkan positif Covid-19 manakala 246,366 lagi negatif.

"Semalam, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan, seramai 8,601 pekerja warga asing menjalani ujian saringan dan daripada jumlah itu 133 orang disahkan positif Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2021 @ 5:50 PM