Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Seramai 482 individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 444 dikompaun manakala 38 lagi direman.

Beliau berkata, ia membabitkan tiada penjarakan fizikal (123), tidak memakai pelitup muka (114), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri/pelanggan (72), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (53) dan lain-lain (120).

"Berkaitan Ops Benteng, tiga pendatang asing tanpa izin (Pati) ditangkap, empat kenderaan darat dirampas manakala 138 bot/kapal turut dikesan di perairan negara melalui tujuh aktiviti penglihatan.

"Seramai 109,989 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 April tahun lalu.

"Semalam, seramai 660 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa negara dan semuanya dikuarantin wajib di stesen kuarantin seluruh negara," katanya pada sidang media MKN, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, sebanyak 279 kertas siasatan dibuka oleh PDRM serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multmedia (SKMM) berhubung berita palsu berkaitan Covid-19.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 141 kes masih dalam siasatan, manakala 35 kes didakwa di mahkamah termasuk 21 didapati bersalah, 13 dalam proses perbicaraan dan 12 diberikan notis amaran serta 425 penafian dan penjelasan dikeluarkan.

"Sementara itu, 218,409 pekerja warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 membabitkan 8,609 majikan dan 874 klinik.

"Daripada jumlah itu, 4,233 orang disahkan positif Covid-19 manakala 214,176 lagi negatif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 6:42 PM