DR Noor Hisham. FOTO Luqman Hakim Zubir.
DR Noor Hisham. FOTO Luqman Hakim Zubir.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Selangor merekodkan kes harian Covid-19 tertinggi sehinggan jam 12 tengah hari ini, dengan 1,351 kes dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Sarawak pula merekodkan 1,126 kes, Kelantan (940), Johor (859), Sabah (761) dan Perak (724).

"Sementara, Terengganu pula merekodkan 590 kes, Pahang (553), Pulau Pinang (537), Kedah (437), Melaka (289), Kuala Lumpur (288), Negeri Sembilan (198), Perlis (66), Putrajaya (23) dan Wilayah Persekutuan Labuan hanya satu kes," katanya hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, kes baharu Covid-19 hari ini turun kepada 8,743 kes berbanding 9,751 kes semalam.

Katanya, data terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes di Malaysia setakat ini mencecah 2,332,221 kes.

"Daripada jumlah kes positif baharu yang dilaporkan itu, 122 kes atau 1.4 peratus dalam kalangan pesakit kategori tiga hingga lima manakala 8,621 kes atau 98.6 peratus lagi adalah kategori satu dan dua," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 14,422 kes dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih adalah 2,184,711 kes iaitu 93.7 peratus daripada keseluruhan kes.

"Sebanyak 770 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 419 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

"Selain itu, 10 kluster baharu dikenal pasti hari ini sekali gus menjadikan jumlah kluster Covid-19 di negara ini meningkat kepada 5,580 dengan 845 kluster aktif, manakala 4,735 kluster tamat," katanya.

Beliau berkata, seperti dimaklumkan melalui ciapan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin di laman Twitter beliau, data berkenaan status terkini jangkitan Covid-19 sudah dilaporkan sejak awal penularan pandemik itu.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata, kaedah pelaporan oleh KKM berubah dari semasa ke semasa agar sesuai dengan situasi penularan Covid-19.

Menurutnya, dalam pada Malaysia bersedia untuk transisi ke arah fasa hidup dengan virus, kaedah pelaporan dan perincian data kini perlu lebih fokus kepada indikator yang penting dan utama.

"Maklumat terperinci situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 di Malaysia akan dimuatnaik ke laman Web COVIDNOW yang mana data akan dikemaskini pada 12 tengah malam setiap hari.

"Laman web ini sentiasa ditambah baik supaya maklumat utama yang diperlukan oleh pihak media dan masyarakat umum boleh didapati dengan mudah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 7:41 PM