GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Seramai 416 individu ditahan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam dengan 372 kompaun dikeluarkan dan 44 orang direman.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada itu, 97 orang melakukan kesalahan merentas negeri atau daerah tanpa kebenaran serta makan dan minum dalam premis.

"Kesalahan lain adalah tiada penjarakan fizikal (35), individu gagal mendaftar masuk premis (74), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (43), membawa penumpang berlebihan (39), tidak memakai pelitup muka (58), premis gagal patuhi arahan (6) dan lain-lain (64).

"Seramai 47 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dan empat kenderaan darat dirampas menerusi Operasi Benteng, semalam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, dalam operasi itu, masing-masing satu bot dan kenderaan darat dikesan menceroboh di perairan negara, melalui tiga aktiviti penglihatan.

Dalam itu, katanya, seramai 478 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan dikuarantin di stesen kuarantin seluruh negara, semalam, menjadikan kumulatif 248,019 individu pulang ke tanah air sejak 24 Julai tahun lalu.

Ismail Sabri berkata, mereka ditempatkan di 83 hotel serta 10 institut latihan awam termasuk institut pengajian swasta di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, 9,860 individu dikuarantin dan 234,988 orang dibenarkan pulang, manakala 3,171 lagi dibawa ke hospital.

"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna juga melakukan 2,592 pemeriksaan khas dan daripada jumlah itu, 2,586 premis mematuhi SOP, lima dikompaun manakala satu lagi diberi amaran," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 7:17 PM