KAPAL tangki yang dikesan bersauh tanpa kebenaran di kedudukan kira-kira 1.2 batu nautika barat laut Pulau Carey. FOTO ihsan APMM
KAPAL tangki yang dikesan bersauh tanpa kebenaran di kedudukan kira-kira 1.2 batu nautika barat laut Pulau Carey. FOTO ihsan APMM
Ruwaida Md Zain


Pelabuhan Klang: Bukan saja bersauh tanpa kebenaran, sebuah kapal tangki yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor turut disyaki melakukan kesalahan pemindahan minyak di perairan Selangor, semalam.

Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, pihaknya menahan kapal terbabit di kedudukan kira-kira 1.2 batu nautika barat laut Pulau Carey pada jam 11.45 pagi.

"Penahanan itu hasil perkongsian maklumat dan operasi bersama dengan Jabatan Laut Wilayah Tengah selepas sebuah kapal tangki dikesan bersauh di perairan itu.

"Sebaik menerima maklumat, bot ronda kami yang sedang melaksanakan Ops Ehsan terus ke lokasi bagi melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan.

"Setibanya di lokasi, pihak kami bersama Jabatan Laut Wilayah Tengah membuat pemeriksaan dan mendapati kapal berkenaan disyaki melakukan kesalahan bersauh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia," katanya.

Mohammad Rosli berkata, siasatan lanjut juga mendapati kapal terbabit disyaki melakukan kesalahan pemindahan minyak.

"Kapal yang berdaftar di Singapura itu dalam perjalanan dari Tanjung Pelepas, Johor ke Pelabuhan Klang," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan juga mendapati kapal itu dikendalikan 15 kru termasuk nakhoda warga Indonesia.

"Kesemua yang berada di kapal itu berusia antara 20 hingga 64 tahun dan memiliki dokumen pengenalan diri yang sah. Malah ejen dilantik turut berada di kapal itu.

"Kapten, pembantu jurutera kapal serta ejen ditahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.

"Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya," katanya.

Katanya, APMM akan terus mempergiatkan lagi kerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan dalam operasi penguatkuasaan bagi membanteras dan menyekat aktiviti jenayah di perairan Selangor.

"Orang ramai boleh menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Selangor di talian 03-31760627 atau MERS999," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2021 @ 10:56 AM