Kapal tangki yang ditahan APMM Selangor. FOTO Ihsan APMM
Kapal tangki yang ditahan APMM Selangor. FOTO Ihsan APMM
Amirul Aiman Hamsuddin


Sekinchan: Kapal tangki yang berdaftar di Greece ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor selepas didapati berlabuh tanpa kebenaran di perairan Sekinchan, semalam.

Kapal tangki membawa 25 kru terbabit ditahan menerusi Op Ehsan pada 2.10 petang di kedudukan 26 batu nautika barat daya Sekinchan.

Pengarah APMM Selangor Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, lokasi pelabuhan terakhir kapal itu dari Singapura menuju ke Fujairah, Emiriah Arab Bersatu.

"Kapal tangki ini dikesan berlabuh tanpa kebenaran di luar batas Pelabuhan Klang oleh Jabatan Laut Malaysia Wilayah Tengah.

"Semua kru kapal termasuk nakhoda adalah warga Filipina berusia 26 hingga 50 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mohammad Rosli berkata, nakhoda kapal gagal mengemukakan dokumen kebenaran bersauh dan didapati bersalah mengikut Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

"Dua kru kapal dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Selangor bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2022 @ 5:31 PM