TIGA kapal tangki ditahan APMM dalam operasi di perairan Johor Timur, Kota Tinggi, hari ini. FOTO ihsan APMM.
TIGA kapal tangki ditahan APMM dalam operasi di perairan Johor Timur, Kota Tinggi, hari ini. FOTO ihsan APMM.
Nurul Amanina Suhaini


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili menahan tiga kapal tangki di perairan Johor Timur, Kota Tinggi, hari ini.

Pengarahnya, Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan, berkata penahanan semua kapal itu hasil perkongsian maklumat daripada Jabatan Laut Wilayah Selatan.

Katanya, dua kapal tangki yang berdaftar di Freetown, Liberia dan Malabo, Equatorial Guinea ditahan bot ronda APMM menerusi Op Jaksa.

“Seramai 21 kru ditahan pada serbuan 11.05 pagi tadi dan 2.10 petang kira-kira 3.2 batu nautika dan 3.8 batu nautika tenggara Tanjung Penyusop di Kota Tinggi.

“Penahanan dilakukan selepas pemeriksaan mendapati kedua-dua kapal tangki terbabit gagal mengemukakan kebenaran bersauh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

“Selain itu kru kapal tidak mencukupi seperti ‘Safe Manning Certificate’,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zulfadli berkata, sebuah lagi kapal tangki yang berdaftar di Jakarta, Indonesia dikendalikan 14 kru ditahan bot ronda APMM pada 11.50 pagi kira-kira 4.5 batu nautika tenggara Tanjung Punggai, Kota Tinggi.

Beliau berkata, kKapal itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan bersauh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

“Kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 Seksyen 491B(l) iaitu bersauh tanpa kebenaran.

“Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM 100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

“Manakala bagi Seksyen 72(1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu kru kapal tidak mencukupi seperti ‘Safe Manning Certificate’ boleh didenda sehingga RM 100,000,” katanya.

Beliau berkata, APMM akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang maritim di perairan negara.

Menurutnya, APMM ingin menegaskan supaya pengusaha dan pemilik kapal untuk menjauhi Kawasan Larangan Bersauh kerana boleh mendatangkan bahaya navigasi serta kerosakan kabel komunikasi dasar laut.

Katanya, pengusaha dinasihatkan untuk memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia dan Lembaga Pelabuhan Johor sebelum berlabuh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 11:19 PM