Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) masih belum menemui sebarang petunjuk berhubung kehilangan seorang kelasi sebuah kapal kargo yang hilang sejak khamis lalu. FOTO IHSAN APMM
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) masih belum menemui sebarang petunjuk berhubung kehilangan seorang kelasi sebuah kapal kargo yang hilang sejak khamis lalu. FOTO IHSAN APMM
Ruwaida Md Zain


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) belum menemui sebarang petunjuk berhubung kehilangan seorang kelasi sebuah kapal kargo yang hilang di perairan Pulau Ketam di Pelabuhan Klang, sejak khamis lalu.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) sudah masuk hari kelima hari ini sejak diaktifkan pada 20 Ogos lalu, membabitkan pencarian keluasan 132 batu nautika.

"Kapal KM Kota Kinabalu, bot Petir 83 dan bot PC32 ditugaskan dalam operasi pencarian.

"Mangsa yang berusia 29 tahun dipercayai memakai baju kerja berwarna jingga dan dipercayai tidak memakai jaket keselamatan ketika berada di atas kapal," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohammad Rosli, mangsa adalah warga China yang bekerja di atas kapal dagang MV King Loong sebagai Kadet Kelasi.

"APMM Selangor turut menghantar notifikasi kepada semua kapal yang melalui kawasan perairan terbabit supaya memaklumkan kepada pihak berkuasa marin itu sekiranya mempunyai sebarang maklumat.

"Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 untuk sebarang penyaluran maklumat berkaitan," katanya.

Jumaat lalu, NSTP melaporkan APMM menggerakkan aset laut dan udara bagi mengesan mangsa yang dipercayai jatuh ke dalam laut di kedudukan 17.2 batu nautika barat daya Pulau Ketam.

Operasi diaktifkan pada 9.30 malam sebaik menerima maklumat mengenai kehilangan mangsa daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru.

Mangsa disedari hilang pada 8.30 malam ketika kapal dalam pelayaran dari Hong Kong ke Brazil melalui perairan Selat Melaka.

Berita berkaitan

Kelasi warga China dikhuatiri lemas di perairan Pulau Ketam

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2020 @ 1:35 PM