KAPAL tangki tempatan yang bersauh tanpa kebenaran di Tanjung Punggai. FOTO ihsan APMM
KAPAL tangki tempatan yang bersauh tanpa kebenaran di Tanjung Punggai. FOTO ihsan APMM
Mary Victoria Dass


Kota Tinggi: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah kapal tangki tempatan yang bersauh tanpa kebenaran di 4.1 batu nautika timur laut Tanjung Punggai, di sini, semalam.

Pengarah APMM Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, siasatan mendapati kapal tangki berkenaan berdaftar di Pelabuhan Klang.

Beliau berkata, tindakan dilakukan anggota APMM yang sedang melaksanakan rondaan pada jam 11.25 pagi menerusi Op Jangkar Haram.

Menurutnya, ia dikendalikan oleh sembilan kru warga Indonesia dan dua kru tempatan berusia antara 20 hingga 40 tahun.

Katanya, mereka didapati memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

"Pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

"Kesemua kru dan kapal tangki ditahan mengikut Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana disyaki bersauh tanpa kebenaran.

"Sekiranya disabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebih RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Nurul Hizam berkata, APMM tidak akan berkompromi dengan sebarang kegiatan pencerobohan kapal yang bersauh tanpa kebenaran.

"APMM menjalankan tugasan dalam melaksanakan tanggungjawab bagi menjaga kedaulatan dan keselamatan perairan.

"Sebarang aduan boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Johor di talian 07-219 9404 atau talian kecemasan MERS 999," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 12:59 PM