ANGGOTA Penguat Kuasa MBSP mengadakan pemeriksaan aplikasi Penang Smart Parking (PSP) di Bandar Sunway Seberang Jaya, Butterworth. FOTO ihsan MBSP
ANGGOTA Penguat Kuasa MBSP mengadakan pemeriksaan aplikasi Penang Smart Parking (PSP) di Bandar Sunway Seberang Jaya, Butterworth. FOTO ihsan MBSP
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengeluarkan 15,588 kompaun kepada individu yang melakukan kesalahan meletak kenderaan sejak 1 Januari hingga semalam.

Pengeluaran kompaun itu didapati tinggi berbanding tempoh sama Januari tahun lalu yang hanya merekodkan 9,724 kompaun.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, pihaknya sedang mengenal pasti punca utama peningkatan pengeluaran kompaun terbabit yang didapati tinggi dalam tempoh singkat kurang daripada sebulan.

"Kita tidak tahu mengapa jumlah pengeluaran kompaun agak tinggi dalam tempoh tidak sampai satu bulan dan kita sedang mengenalpasti puncanya.

"Adakah sistem ini yang bermasalah atau penduduk Seberang Perai sendiri yang masih belum memahami sistem sepenuhnya yang mana kita akan perbaiki segala kelemahan dan berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan dengan lebih baik," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh MBSP yang disiarkan melalui Facebook (FB), di sini, hari ini.

Tahun lalu, sebanyak 132,458 kompaun dikeluarkan MBSP terhadap individu atas kesalahan letak kenderaan dengan rekod paling tinggi adalah pada November iaitu 20,151 kompaun.

Mengulas lanjut, Rozali berkata, penduduk Seberang Perai tidak lagi boleh menggunakan kupon letak kereta bercetak memandangkan penggunaannya sudah ditamatkan pada 31 Disember lalu.

"Mulai tahun ini dan seterusnya, penggunaan aplikasi Penang Smart Parking (PSP) sudah dikuatkuasakan sepenuhnya di kawasan tempat letak kereta berwarta di seluruh Seberang Perai.

"Aplikasi PSP ini boleh dimuat turun melalui platform seperti Google Play Store, Apple App Store dan Huawei Gallery App yang mana kita berharap semua pihak dapat menyokong usaha perkembangan teknologi tempat letak kereta pintar ini," katanya.

Beliau berkata, bagi individu yang kurang memahami penggunaan sistem PSP mereka tidak perlu khuatir memandangkan terdapat 186 ejen kupon elektronik atau e-kupon yang akan membantu.

"Ejen-ejen ini bertanggungjawab bagi memastikan kelancaran sistem ini yang mereka akan ditempatkan di beberapa lokasi yang ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 4:29 PM