Penguat kuasa MPSP menunda kereta yang tidak meletak kupon di sekitar Bukit Mertajam. FOTO Ihsan MPSP
Penguat kuasa MPSP menunda kereta yang tidak meletak kupon di sekitar Bukit Mertajam. FOTO Ihsan MPSP
Shamsul Munir Safini


MAMPU beli kereta mewah namun tidak ‘mampu’ membeli kupon tempat letak kereta.

Itu sikap 59 pemandu di Bukit Mertajam apabila kereta mereka ditunda penguat kuasa Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sejak September lalu sehingga bulan ini.

Yang Dipertua MPSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, kebanyakan kereta yang ditunda adalah kereta mewah.

Katanya, pesalah yang juga pemilik kereta mewah itu dikesan mempunyai sekurang-kurangnya tunggakan 10 kompaun letak kereta namun enggan melunaskannya.

“Setakat ini lebih 2,000 kes kompaun letak kereta tidak berbayar sudah dibawa ke Jabatan Undang-Undang untuk dihadapkan ke mahkamah.

“Sejak September 2018 sehingga 22 Februari 2019, 59 kenderaan ditunda MPSP atas kesalahan ada 10 kompaun tertunggak dan pihaknya akan menggiatkan lagi usaha memburu mereka yang melakukan kesalahan ini,” katanya hari ini.

Rozali berkata, MPSP tidak akan berkompromi dengan pesalah yang yang gagal membayar kompaun tempat letak kereta yang dikeluarkannya.

Menurutnya, selama ini ramai beranggapan penguat kuasa MPSP tidak serius dalam mengambil tindakan selain ada yang menganggap mereka kebal serta tiada tindakan boleh diambil.

“Kes pelanggaran undang-undang sering kali kita dengar dan semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.

“Pelanggaran undang-undang seperti sudah menjadi trend dan tiada perasaan bersalah di kalangan pemandu degil.

“MPSP sudah memberi tempoh dan peluang kepada mereka (pesalah) tetapi diambil mudah,” katanya.

Rozali berkata, pesalah dikehendaki membayar caj tundaan RM100 selain menjelaskan semua kompaun tertunggak sebelum dibenarkan membawa pulang kenderaan.

Katanya, bagi setiap kesalahan letak kereta, pesalah boleh didenda sehingga RM300 dan tindakan kunci tayar di dalam petak juga akan dijalankan.

Tuntutan kenderaan hendaklah dilakukan di MPSP dengan syarat kompaun tertunggak diselesaikan terlebih dulu dan caj RM50 dikenakan untuk membuka kunci tayar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 10:19 PM