GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) memaklumkan ada dua lagi pasar awam kendalian pihak berkuasa tempatan (PBT) itu ditutup berikutan penularan Covid-19.

Dua pasar berkenaan adalah Pasar Awam Tasek Gelugor di daerah Seberang Perai Utara yang diarah tutup selama 10 hari bermula hari ini dan Pasar Awam Bandar Tasek Mutiara di daerah Seberang Perai Selatan yang diminta menghentikan operasi sementara selama tiga hari bermula Khamis ini.

Datuk Bandar Seberang Perai Datuk Rozali Mohamud berkata, penutupan kedua-dua pasar berkenaan dibuat berikutan pengesanan kes positif Covid-19 membabitkan peniaga dan pekerja dekat situ.

"Bagi Pasar Awam Tasek Gelugor terdapat empat kes positif Covid-19 dilaporkan manakala Pasar Awam Bandar Tasek Mutiara pula merekodkan lima kes.

"MBSP mengambil maklum berkaitan kegusaran orang ramai berhubung kes positif yang dilaporkan di kedua-dua pasar ini dan mengambil langkah menghentikan operasi bagi membolehkan siasatan pengesanan kontak rapat serta menjalankan aktiviti saringan serta kerja sanitasi di tapak," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Penutupan kedua-dua pasar awam itu menjadikan sehingga kini ada 10 pasar awam seliaan MBSP ditutup angkara penularan Covid-19.

Sementara itu, Rozali berkata, MBSP juga menyeru kepada semua peniaga dan orang awam yang mengunjungi kedua-dua pasar awam itu untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Hal ini penting dalam usaha kita untuk memutuskan rantaian Covid-19 dapat dilaksanakan dan penyebaran wabak ini juga dapat dikawal," katanya.

Terdahulu, MBSP menyeru semua peniaga yang belum berdaftar atau tidak mendapat janji temu suntikan vaksin Covid-19 untuk segera mendaftarkan diri dalam Program Vaksin Peniaga Seberang Perai.

Ia susulan pelancaran satu Kajian Penilaian dan Penentuan Risiko sejak Mei lalu yang mendapati pasar awam adalah antara kawasan yang berisiko tinggi untuk berlakunya jangkitan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 5:38 PM