GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Dua lagi pasar awam kendalian Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) ditutup susulan penularan wabak Covid-19.

Pasar Awam Tasek Gelugor di daerah Seberang Perai Utara yang diarah tutup selama 10 hari bermula hari ini.

Sementara, Pasar Awam Bandar Tasek Mutiara di daerah Seberang Perai Selatan diminta menghentikan operasi sementara selama tiga hari bermula Khamis ini.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, penutupan kedua-dua pasar berkenaan dibuat ekoran pengesanan kes positif Covid-19 membabitkan peniaga dan pekerja dekat situ.

"Bagi Pasar Awam Tasek Gelugor terdapat empat kes positif Covid-19 dilaporkan manakala Pasar Awam Bandar Tasek Mutiara pula merekodkan lima kes.

"MBSP mengambil maklum berkaitan kegusaran orang ramai berhubung kes positif yang dilaporkan di kedua-dua pasar ini dan mengambil langkah menghentikan operasi bagi membolehkan siasatan pengesanan kontak rapat serta menjalankan aktiviti saringan serta kerja-kerja sanitasi di tapak," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sehingga kini, 10 pasar awam di bawah seliaan MBSP ditutup.

Rozali berkata, semua peniaga dan orang awam yang mengunjungi kedua-dua pasar awam itu diminta sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Ini penting dalam usaha kita untuk memutuskan rantaian Covid-19 dapat dilaksanakan dan penyebaran wabak ini juga dapat dikawal," katanya.

Pada masa sama, MBSP meminta semua peniaga yang belum berdaftar atau tidak mendapat temujanji suntikan vaksin Covid-19 supaya segera mendaftarkan diri dalam Program Vaksin Peniaga Seberang Perai.

Ia susulan pelancaran satu Kajian Penilaian dan Penentuan Risiko sejak Mei lalu yang mendapati pasar awam adalah antara kawasan yang berisiko tinggi untuk berlakunya jangkitan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 5:40 PM