GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengambil lapan inisiatif di bawah pelan tindakan segera dalam menangani peningkatan kes Covid-19 dan kewujudan kluster baharu di kawasan Seberang Perai.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, pelan tindakan segera berkenaan pernah diambil sebelum itu dan ia menunjukkan hasil positif dalam memerangi wabak berkenaan.

"Lapan inisiatif dalam pelan ini antaranya mengetatkan kawalan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kepada pengunjung atau pelanggan yang ingin memasuki pasar awam dan kompleks penjaja MBSP melalui penambahan anggota kakitangan MBSP dari dua kepada lima orang bagi membuat kawalan dan pemeriksaan suhu badan.

"Selain itu, MBSP mengarahkan penganjur pasar pagi dan pasar malam untuk meningkatkan kawalan terhadap pematuhan SOP oleh pelanggan di setiap pasar pagi dan pasar malam kerana ia adalah lokasi berisiko tinggi dan jika ingkar tindakan penguatkuasaan akan diambil.

"Pada masa sama, MBSP akan memperkemaskan perimeter pasar awam dan kompleks penjaja MBSP supaya tiada ruang masuk dan keluar yang tidak dibenarkan dilalui oleh peniaga dan pengunjung selain mewajibkan penggunaan aplikasi My Sejahtera," katanya pada sidang media melalui di Facebook, hari ini.

Jelasnya, MBSP akan memperbanyakkan operasi pemantauan pematuhan SOP di kawasan perniagaan sekitar Seberang Perai dengan memberikan tumpuan kepada perniagaan yang berisiko tinggi seperti pusat hiburan, kedai gunting rambut, rawatan kecantikan, pusat membeli belah dan lain-lain.

"MBSP akan meningkatkan operasi bersepadu bersama jabatan atau agensi penguatkuasaan luar seperti polis dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) di premis perniagaan di Seberang Perai," katanya.

Dalam pada itu, Rozali berkata, MBSP juga akan meningkatkan pelaksanaan kerja sanitasi di pasar awam dan kompleks makanan di dalam kawasan yang mempunyai kes positif kepada setiap hari berbanding pada hari-hari tertentu sebelum ini sebagai langkah tambahan memastikan pasar awam bebas virus Covid-19.

"MBSP juga terpaksa menangguhkan semua aktiviti atau program gotong-royong di seluruh Seberang Perai sementara waktu kecuali bagi kawasan-kawasan yang diisytiharkan terlibat dengan kes denggi atau chikugunya," katanya.

Kelmarin, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat kluster baharu di Pulau Pinang iaitu Kluster Alma di kawasan Seberang Perai yang kini sudah merekodkan 17 kes.

Ini menjadikan terdapat tiga kluster aktif di negeri itu dan keseluruhanya, Pulau Pinang mencatatkan 662 kes iaitu 452 kes aktif, 207 kes sembuh dan tiga kes kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 11:40 AM