Nur Izzati Mohamad

Nibong Tebal: Dua premis perniagaan yang dikendalikan warga asing diserbu kerana dikesan melakukan pelbagai kesalahan di Valdor, Sungai Bakap, di sini, hari ini.

Serbuan dilakukan kira-kira 10 pagi oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bersama polis selepas menerima laporan awam.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, berdasarkan maklumat, kedua-dua premis terbabit menjalankan perniagaan barangan runcit.

"Dalam serbuan pertama, kita memeriksa sebuah premis dua tingkat sebelum menemui beberapa bilik asrama pekerja warga asing di bahagian belakang dan tingkat atas yang beroperasi tanpa lesen serta menjumpai 36 ekor ayam hidup yang dibela dalam premis terbabit.

"Berikutan itu, MBSP mengeluarkan dua kompaun iaitu kesalahan tempat penginapan pekerja (asrama) tanpa lesen, selain kompaun tidak tunai syarat pelesenan (diuruskan oleh warga asing sepenuhnya) dan satu Notis Menghendaki Kacauganggu Dihapuskan dalam tempoh serta-merta.

"Selain itu, polis turut menahan lima warga asing kerana tiada dokumen perjalanan untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, di sini.

Anggota Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) merampas barangan perniagaan dalam operasi bersepadu bersama polis terhadap premis perniagaan yang dijalankan warga asing di Kampung Valdor di sini. FOTO DANIAL SAAD
Anggota Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) merampas barangan perniagaan dalam operasi bersepadu bersama polis terhadap premis perniagaan yang dijalankan warga asing di Kampung Valdor di sini. FOTO DANIAL SAAD

Menurutnya, MBSP juga mengeluarkan satu kompaun dan satu notis kepada pemilik kedai runcit lain kerana beroperasi tanpa lesen dalam serbuan kedua, tidak jauh dari lokasi pertama.

"Dalam serbuan itu, beberapa barangan antaranya tong ais, peti sejuk, penimbang digital dan kipas angin dirampas untuk siasatan. Polis juga menahan dua pekerja asing kerana tidak mempunyai permit.

"Secara keseluruhannya, MBSP mengeluarkan tiga kompaun berjumlah RM750 dalam kedua-dua serbuan itu," katanya.

Katanya, warga asing tidak dibenarkan menjalankan perniagaan dan tindakan tegas boleh diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 3:43 PM