GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Zuliaty Zulkiffli

Kulim: Tindakan seorang wanita membuat laporan palsu kehilangan MyKad akibat disamun Isnin lalu, mengundang padah apabila polis membuka siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Azhar Hashim berkata, wanita berusia 25 tahun yang tidak bekerja itu membuat laporan palsu berkenaan bagi mengelak didenda Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana kehilangan kad pengenalan akibat kecuaian sendiri,

"Hasil soal siasat mendapati, keterangan yang diberikan wanita itu meragukan.

"Dia mengaku berbuat demikian (laporan palsu) untuk membuat semula Mykad baharu dan mengelak daripada didenda oleh JPN," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azhar berkata, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda tidak sampai RM2,000.

"Saya menggesa orang awam supaya tidak membuat pemalsuan maklumat dalam laporan polis untuk kepentingan peribadi yang boleh membencanakan pihak lain.

"Ia bukan saja menyebabkan polis terpaksa mengambil masa untuk menyiasat kes yang tidak wujud, malah boleh dikenakan tindakan undang-undang kepada sesiapa jua yang melakukannya," katanya.

Katanya, sepanjang tahun ini, pihaknya mengesan tiga kes laporan palsu, manakala sepanjang tahun lalu, lebih kurang 40 laporan palsu diterima.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 2:02 PM