GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Tindakan lelaki membuat laporan palsu mendakwa disamun dua lelaki bagi mengelak membayar denda hilang Mykad buat kali keempat mengundang padah apabila ditahan polis, semalam.

Pembohongan lelaki berusia 26 tahun itu terbongkar apabila keterangan diberikan kakaknya berbeza dengan keterangan suspek.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki itu tampil membuat laporan polis pada Isnin lalu mendakwa menjadi mangsa samun di Bagan Ajam, di sini.

"Dia (suspek) mendakwa dua lelaki melarikan dompet miliknya mengandungi Mykad, kad bank dan wang tunai RM30.

"Bagaimanapun, soal siasat ke atas saksi iaitu kakaknya mendapati suspek membuat laporan sedemikian kerana takut didenda berikutan sudah empat kali kehilangan Mykad, sebelum ini.

"Berdasarkan maklumat, suspek berjaya ditahan pada 5.40 petang semalam untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan," katanya.

"Oleh itu, polis menahan suspek semalam untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Difahamkan, suspek mahu mengelak daripada membayar denda sebanyak RM1,010 yang dikenakan oleh JPN bagi kehilangan MyKad kali ketiga dan ke atas.

Noorzainy berkata, suspek kini ditahan bagi siasatan lanjut dibawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 2:47 PM