GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


BIMBANG tidak dapat memperbaharui Mykad dan perlu membayar denda menyebabkan seorang lelaki membuat laporan polis palsu kononnya dia diragut.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, polis pada mulanya menerima laporan dibuat lelaki berusia 26 tahun itu 6.18 petang semalam mendakwa diragut ketika berada di Jalan Gasing, Petaling Jaya oleh dua penjenayah.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, pada 7.10 malam tadi, sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya memanggil lelaki terbabit bagi menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian itu.

"Hasil siasatan mendapati, pengadu mengaku bahawa Mykadnya hilang dan laporan polis yang dibuatnya itu tidak benar, yang mana kejadian ragut tidak berlaku sama sekali.

"Dia membuat laporan polis palsu kerana bimbang tidak dapat memperbaharui Mykad atau perlu membayar denda kepada pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mendapatkan gantian kad pengenalan yang baru," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, kes masih dalam siasatan lanjut dan kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan cadangan supaya mangsa dituduh mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan polis palsu.

"Tahun ini, sebanyak enam kes membabitkan orang awam yang membuat laporan polis palsu dan kita sangat memandang serius dengan perbuatan ini serta mengingatkan orang ramai supaya tidak sesuka hati membuat laporan polis hanya untuk kepentingan peribadi semata-mata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2020 @ 6:57 PM